Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Tiga warga Malaysia daripada kumpulan Takfiri Daesh dilaporkan terbunuh di dalam sebuah serangan udara yang dilancarkan ke atas bandar Raqqa di Syria pada Jumaat lepas.
Ketiga-tiga militan Daesh itu dikenali sebagai Zainuri Kamaruddin, Ahmad Asyraf Arbee dan Sazrizal Mohd Sofian Tahyalan terbunuh pada hari Jumaat di dalam sebuah serangan udara ke atas bandar Raqqa yang dikuasai oleh kumpulan pengganas tersebut.
Zainuri yang juga dikenali sebagai Abu Talhah merupakan salah seorang pemimpin utama Daesh di Raqqa. Pada Mei 2016, Zainuri didapati muncul di dalam sebuah video yang menunjukkan dia sedang membakar pasport miliknya untuk menyatakan bahawa dia tidak akan kembali ke Malaysia lagi. Dia turut mengisytiharkan perang ke atas kerajaan Malaysia yang dianggapnya sebagai sebuah 'negara kafir'.
Militan yang kedua, Ahmad Asyraf dikatakan pergi ke Syria pada November 2014. Sazrizal dan isterinya pula dilaporkan meninggalkan Malaysia untuk ke Syria pada tahun yang sama.
Menurut Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, kematian mereka bertiga menjadikan angka warga Malaysia yang menyertai Daesh di Syria dan Iraq meningkat kepada 30 orang.
17 Januari 2017 - 18:50
News ID: 805591
Tiga orang warga Malaysia daripada kumpulan Takfiri Daesh dilaporkan terbunuh di dalam sebuah serangan udara yang dilancarkan ke atas bandar Raqqa di Syria.